Please sangat tawwwww...

Please sangat tawwwww...

Wednesday, June 8, 2016

Arba'in di Jalan Lim Bo Seng, Ipoh

Arba'in berdiri tegak di persimpangan Jalan Lim Bo Seng. Dia terasa sunyi walaupun jalan raya sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Dia cuba senyum kepada beberapa orang gadis yang berjalan di sekitar koridor kedai Toto, tetapi tidak seorang pun yang membalas senyumannya.

Seketika Arba'in berasa kecewa. Ramai yang mengatakan bahawa hati gadis gadis mudah terpaut dengan lelaki bertubuh tinggi lampai sepertinya, ternyata bohong juga kenyataan itu. Buat beberapa saat, terasa seperti rangkap pertama lagu Di Penjara Janji bermain-main di pendengaran Arba'in.

Arba'in mengeluh. Biarkan. Orang kata, jodoh yang lambat itu mungkin yang baik. Arba'in cuba sedapkan hati sendiri. Seekor kucing berbulu jingga sedang memerhatikan Arba'in. Arba'in terasa menyampah pula melihat kucing itu. Eh, budak kucing ni, asyik merayau je kerjanya!

Arba'in ternampak seorang uncle sedang mengayuh basikal. Ohh, inilah uncle yang dikatakan viral di internet kerana tiada kepala. Ermm, kesian uncle ni, mungkin masalah tengkuk dia begitu.

Erina berdiri di sebelah Arba'in. Dengan seluar pendek dan baju tidak berlengan, kulitnya begitu mulus sekali. Wajah Erina ada kalanya ibarat Ramona Rahman. Putih dan mulus. Tetapi Arba'in tidak tertarik kepada Erina kerana errmmm, Erina sebenarnya berbadan sasa. Arba'in tidak mahu judge Erina, biarlah Erina dengan kulit putih mulusnya itu.

Arba'in masih terasa sunyi. Dia memandang Jarjis yang berdiri tidak jauh darinya. Jarjis sekadar memandang kosong ke arah Arba'in. Ada kalanya Arba'in merasakan Jarjis seorang yang membosankan. Arba'in selalu mengajak Jarjis bersiar-siar ke tempat lain, atau makan sate Mak Endah, namun Jarjis memberikan pelbagai alasan. Katanya tiada guna dia bersiar-siar, atau tiada mood, atau sebagainya.

Arba'in hairan dengan sikap Jarjis sebegitu. Jarjis seperti depressed. Dia tidak mahu bergembira. Kalau boleh Arba'in mahu merasakan apakah itu nikmat cinta. Dia mahu dicintai gadis-gadis. Dia mahu tulis sajak sajak cinta kepada gadis kerana dengar cerita gadis gadis suka akan lelaki yang pandai menulis sajak seperti Neruda, bukannya lelaki berkereta buatan Jerman seperti tunangan Cinta.

Kucing berwarna jingga tadi menghampiri Arba'in. Arba'in mendiamkan diri sehingga terasa panas dan basah kakinya akibat pancutan air kencing kucing itu. Arba'in nampak kucing itu kecik besor kecik besor. Kucing itu berlalu pergi membiarkan Arba'in terkedu sendiri.

Sebagai sebatang tiang lampu, Arba'in masih diam. Dia cuma memandang ke arah Jarjis sekali lagi, sebelum Jarjis bersuara, "Idak le boleh ke mana-mana, yob. Berdiri je le situ."